fbpx

Berubahlah demi elak gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUSAT beli-belah tidak hanya perlu dilihat sebagai lokasi berbelanja, malahan tempat bersosial bersama rakan-rakan. – GAMBAR HIASAN

INDUSTRI runcit dan pusat beli-belah mengalami cabaran yang di luar jangkaan akibat pandemik Covid-19 sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka disebabkan mengalami kerugian besar.

Bagi perniagaan yang masih bertahan hingga kini, mereka perlu bergerak dengan membuat perubahan tertentu untuk terus bertahan dan berkembang.

Wabak tersebut telah menjadikan pemain industri peruncitan tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perlu disertai dengan transformasi.

Peruncit pada masa kini perlu memikirkan apa yang dapat dan perlu mereka lakukan ketika menghadapi pasca Covid-19 yang semakin mencabar indusrti berkaitan.

Kini adalah masa yang sesuai untuk berubah kerana jika tidak dapat menyesuaikan diri dalam dunia yang semakin berkembang, mereka akan ‘lenyap’ dan harus bersiap sedia melakukan format baharu dalam perniagaan.

Dalam hal ini, pusat beli-belah perlu mengubah beberapa perkara untuk terus relevan, antaranya norma baharu mesti diutamakan dan pada masa sama tetap menjadikan tempat berkenaan selesa kepada pengunjung.

Seterusnya, penyewa perlu menukar peranan kedai mereka untuk terus kekal dalam bidang perniagaan.

Mereka memerlukan konsep baharu yang berbeza dan tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini.

Pusat beli-belah juga bukan lagi menjadi tempat utama untuk berbelanja, kerana terdapat banyak alternatif lain untuk berbuat demikian termasuk secara online.

Para pengunjung memerlukan satu elemen baharu yang segar untuk merehatkan naluri sebagai manusia yang perlu bersosial.

Itulah yang harus difikirkan oleh para peruncit di negara ini.

Sebuah pusat beli belah yang melaksanakan inovasi bijak dan kreatif bagi mencipta konsep yang lain daripada tempat lain bagi memenuhi keperluan pengunjung akan terus mendapat tempat di hati pengguna.

Pengusaha peruncitan memerlukan paradigma baharu, terutama untuk menarik pengunjung dan membantu penyewa mereka berdaya tahan.

Mereka mesti dapat memberikan konsep, bukan hanya menjual tempat untuk perniagaan, tetapi akhirnya tidak mendapat sambutan orang ramai.

SESEBUAH pusat beli-belah perlu menyediakan kemudahan-kemudahan lain yang lengkap bagi membolehkan pelanggan memaksimumkan kunjungan mereka ke situ.– GAMBAR HIASAN

Di samping itu, penyewa juga perlu memikirkan kaedah baharu untuk menjual produk, bukan sekadar membuka kedai, tetapi perlu ada konsep tersendiri agar barangan dijual diminati pelanggan.

Seterusnya, tugas pengurus adalah mencari jalan agar pelawat dan penyewa mendapat manfaat bersama memandangkan pandemik memberi kesan besar kepada pengurusan pusat beli- belah dan penyewa mereka.

Dalam pada itu, industri peruncitan kini memerlukan perincian yang perlu benar-benar menerapkan usaha peruncit.

Dalam keadaan sukar sekarang, jika kita hanya menyediakan tempat untuk menjual, ia tidak memadai bagi menarik kedatangan pembeli.

Dengan membina pengalaman yang menyenangkan melalui perkhidmatan pelanggan terbaik dapat mengeratkan hubungan dengan antara pihak pengurusan dan pengguna.

Jika ini selalu dipraktikkan, pengguna akan setia dan menjadikan tempat berkenaan pilihan untuk berbelanja kerana mereka telah mendapat perkhidmatan paling baik.

Peruncit kini perlu dilihat sebagai industri yang mempunyai ‘naluri yang hidup’ dan menerapkan konsep one stop shopping digabungkan dengan perkhidmatan pelanggan lebih aktif dan kreatif.

Walaupun dari segi praktikalnya agak sukar, tetapi sesebuah pusat beli-belah memerlukan sebuah pasukan pekerja yang sanggup untuk membentuk tingkah laku dan sikap aktif dan kreatif dalam mendepani perubahan ini.

Ini sekali gus dapat menyediakan suasana persekitaran dan perkhidmatan yang memuaskan hati pengguna.

Pada masa sama, pusat beli-belah perlu menyediakan persekitaran yang mempunyai kemudahan lain yang lengkap sehingga pengguna dapat memaksimumkan kunjungan mereka ke situ.

Dengan ini, mereka akan dapat mengubah pemikiran orang-orang yang melihat pusat beli-belah sebagai hanya tempat untuk berjual-beli kepada tempat untuk bersosial bersama rakan-rakan.

Di samping itu, pihak yang mengendalikan sesebuah pusat beli-belah juga harus berusaha untuk menawarkan produk yang memenuhi keperluan pasaran dan pengguna semasa dan sesudah pandemik berakhir satu hari nanti.

Ia seolah-olah menjadi prasyarat untuk terus bertahan dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian pada masa kini dan akan datang.

Dalam pada itu, sesebuah pusat beli- belah juga mesti terus berinovasi dalam saluran sama ada secara online dan luar talian jika ingin terus berdaya maju dan diterima pengguna di luar sana yang semakin canggih menggunakan teknologi digital.

Dalam hal ini, pusat beli-belah tersebut akan terus bertahan kerana telah sebati menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat jika perkara sebegini diambil kira dan diteruskan setiap masa.

Akhir sekali, industri peruncitan dan pusat beli-belah di negara ini mesti mempunyai kemampuan untuk bertindak balas kepada perubahan di persekitaran.
————————————————————————————————————————————————-
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan, Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan
dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI