Brendan Gan mengakui enggan terburu-buru untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya pada masa terdekat, sebaliknya lebih berminat untuk fokus dengan skuad Gergasi Merah terlebih dahulu.
Sebagai rekod, Brendan dianggap sebagai salah seorang tunjang skuad kebangsaan sebelum posisinya sebagai ‘jeneral’ tengah terpaksa dilepaskan apabila disahkan menghidap kanser pada pertengahan tahun lalu.
Selepas bebas daripada kanser ketika ini, Brendan percaya masih memerlukan masa buatnya untuk membuktikan keupayaan sendiri di atas padang sebelum memikirkan sebarang kemungkinan diserap dalam skuad negara kendalian Kim Pan-gon pada masa akan datang.
“Saya rasa tidak perlu yakikan keupayaan yang ada pada sesiapa kerana cukup kuat ketika ini secara mental dan fizikal dan jika perlu berbuat demikian, saya hanya perlu buktikan kepada diri sendiri.
“Secara peribadi, saya masih mampu untuk bersaing di peringkat tertinggi dan perlu kekal positif serta fokus bersama Selangor FC kerana itulah yang mustahak ketika ini.
“Mengenai kehadiran Pan-gon, saya pasti dia akan menerapkan falsafah serta budaya bola sepak baharu dalam skuad kebangsaan dan pemain yang bakal dipilih nanti perlu menyesuaikan diri secepat mungkin.
“Saya telah mengharungi karier panjang dengan dibimbing oleh pelbagai latar belakang jurulatih dan percaya ia bukanlah tugas yang mudah untuk sesuaikan diri dengan taktikal yang baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kali terakhir pemain berusia 34 tahun itu mewakili skuad Harimau Malaya adalah ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun tahun lepas.
Pan-gon dijangka diperkenalkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok dan bakal melakukan tugasan pertama untuk mengatur aksi persahabatan pada kalendar antarabangsa FIFA bulan depan.