JAGUH perseorangan lelaki Singapura, Loh Kean Yew tidak mahu terlalu fokus terhadap pertemuan menentang pemain Malaysia, Lee Zii Jia apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini.
Aksi sulung saingan Kumpulan B itu dijangka menjadi tumpuan seluruh peminat sukan badminton kerana bakal mempertemukan Kean Yew dan Zii Jia yang sudah dianggap sebagai seteru utama.
Bagaimanapun, Kean Yew tidak mahu perseteruannya dengan Zii Jia mengganggu fokus pemain-pemain lain kerana dia menganggap aksi berpasukan sangat berbeza dengan kejohanan individu seperti kebiasaan.
“Selepas tempoh masa yang agak lama, akhirnya saya kembali bersama pemain-pemain lain untuk kejohanan berpasukan. Kami sudah tidak sabar untuk beraksi dan akan bermain seperti biasa.
“Saya tahu pertemuan saya dengan Zii Jia amat ditunggu-tunggu tetapi saya datang ke sini bersama pasukan, jadi sumbangan pemain lain juga sangat penting. Kami perlu bermain sebagai satu pasukan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Pemain berusia 25 tahun itu berharap Singapura mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dan mara ke separuh akhir bagi mendapatkan slot ke saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok Mei depan.
Pada masa sama, Kean Yew juga enggan terlalu memikirkan mengenai statusnya sebagai juara dunia memandangkan ia mampu menghadirkan tekanan buat diri sendiri serta pasukan pada kejohanan dwitahunan itu.
“Mengenai peluang ke Piala Thomas, saya anggap apa sahaja boleh berlaku dalam setiap kejohanan. Ini adalah kejohanan berpasukan, jadi semua pemain perlu bersedia untuk sumbang mata,” jelasnya.