SEREMBAN – Terdapat 21 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan pendidikan telah dilaporkan di Negeri Sembilan sehingga semalam dan sebanyak lapan buah sekolah juga telah ditutup buat sementara waktu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penutupan lapan buah sekolah tersebut adalah berdasarkan penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi tujuan pengesanan kontak rapat, isolasi, sanitasi dan mitigasi serta akan dibuka semula secara berperingkat.
“Kesemuanya melibatkan lima buah sekolah menengah kebangsaan (SMK), manakala tiga buah lagi melibatkan sekolah kebangsan (SK).
“Hasil penelitian, pola penularan kes Covid-19 di sekolah kebanyakannya bersifat sporadik dan tidak ada dapatan substantif yang menunjukkan punca penularan adalah disebabkan ketidakpatuhan atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di sekolah yang terlibat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Menurut Aminuddin lagi, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, didapati tahap pematuhan SOP di sekolah adalah memuaskan dan selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. – K! ONLINE