fbpx

Slam sehangat mentari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI dan Slam berjaya melunaskan Konsert Mentari Merah Muncul Lagi, Sabtu lalu,

TIADA yang berubah. Masih kekal sama, gemersik dan merdu seperti dahulu ketika halwa telinga mula mendengar suara itu sekitar 1990-an.

Selepas tiga dekad lamanya, suara lelaki bernama Zamani itu masih tangguh mencandu para peminat setianya yang menghadiri Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu lalu.

Membuka tirai sekitar 8.40 malam, kumpulan itu tidak menunggu lama memulakan persembahan menerusi introduksi muzik sebelum terus disambung dengan lagu pembukaan iaitu Biarkannya dan Buat Seorang Kekasih.

Pandemik yang mengunci dunia sejak lebih dua tahun lalu nyata membuatkan kerinduan peminat melihat aksi Slam di hadapan mata cukup menebal.
Malam Sabtu lalu akhirnya meleraikan penantian panjang mereka dengan membariskan kesemua anggota kumpulan itu terdiri daripada Shah (gitaris), Man (dram), Lili (basis), Ajak (gitaris) dan Eddie (keyboard).

Saat membuat kemunculan keluar dari belakang pentas, sosok penyanyi dengan nama lengkap Zamani Ibrahim itu tampil dengan imej sederhana mengenakan sehelai jaket denim berwarna biru muda dengan corak lambang hati.

Di sebalik kaca mata hitam dipakainya, Zamani menggenggam penghayatan yang sangat dalam ketika menyampaikan lagu-lagu popular Slam.

Dalam segmen pertama, Slam meletakkan dua lagu hit mereka yang memiliki nama wanita iaitu Rindiani dan Maria Mariana.

BIARPUN keadaan fizikalnya tidaklah begitu baik, namun semangat besar Zamani dalam memberikan persembahan terbaik buat peminat melebihi segalanya.

Kata Zamani, lagu Rindiani dihasilkan pada 1999 dan pada usianya 51 tahun dia kembali menyanyikannya iaitu selepas 23 tahun hayat karya popular berkenaan.

“Terima kasih buat semua yang banyak membantu dalam karier Slam terutama pengurus, Johan Aziz dan sudah tentu nama yang terlalu banyak berjasa dengan menghasilkan kebanyakan lagu kami iaitu komposer Saari Amri,” hargai Zamani.

Selain lagu dua nama wanita itu, Slam turut menyampaikan lagu Nurkasih dan Tak Mungkin Berpaling dalam segmen pertama.

SEMPURNA. Biarpun berlangsung dalam keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, namun Slam berjaya melunaskan persembahan Konsert Slam Mentari Muncul Lagi dengan cemerlang.

Bengkok, ‘straight’

Tanpa sedar masa berlalu begitu pantas, persembahan Slam terasa cepat sahaja memasuki segmen kedua selepas sesi rehat sekitar 10 minit.

Untuk segmen kedua persembahan, kumpulan yang ditubuhkan pada 1993 itu memilih seleksi lagu ‘berhantu’ mereka seperti Kembali Merindu, Suratan, Biarkan Ia Pergi dan Kurnia.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong Slam. Tak kira bengkok ke ‘straight’ ke, kalian tetap setia dengan kami. Saya harap kalian bawa balik kenangan manis walaupun tak berapa nak manis,” seloroh Zamani disambut tawa peminat.

Benar. Dari kejauhan melihat penyanyi itu berada di atas pentas, jelas kelihatan susuk tubuhnya yang semakin membengkok ke arah kanan badannya dek penyakit skoliosis yang dihidapi sejak 2019.

Realitinya, kehadiran lelaki bernama Zamani di mana pun, apatah lagi di pentas konsert akan sentiasa dipenuhi aura positif. Di sebalik tulang empat kerat yang melidi, dia masih mampu menghabiskan durasi dua jam persembahan dengan penuh bertenaga.

Tak kiralah sebengkok mana postur badannya ketika itu, kelibat Zamani di atas pentas mudah menutup segala kekurangan yang dimilikinya.

Kuasa vokalnya sahaja sudah membuatkan peminat puas hati dan tersenyum gembira melayan keasyikan lantunan melodi penuh nostalgia.

Sesekali tangannya berpaut pada kerusi di atas pentas, barangkali untuk menstabilkan kedudukan ketika berdiri. Keseluruhan, Zamani berusaha selincah mungkin, dia menari mengikut rentak muzik dimainkan rakan-rakannya.

TAK ada yang kurang atau berubah tentang suara merdu Zamani. Itulah anugerah terindah paling besar yang dimilikinya sehingga sekarang biarpun keadaan fizikalnya sudah tidak lagi seperti dahulu.

Tutup kekurangan

Penyampaian Zamani pada malam itu juga tidak ada kurangnya, kecuali sesekali dia tersilap dan terlupa lirik.

Namun ketika ‘kesalahan’ itu dilakukannya, sekitar 1,500 peminat yang hadir mengisi ruang dewan menjadi ‘back up singer’ dan menghidupkan suasana persembahan dengan nyanyian bersama.

Mungkin tak sama, tapi situasinya lebih kurang ketika dia menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta sewaktu bergelar bintang Gegar Vaganza musim kelima pada 2018.

Akibat keadaan tak mengizinkan, penyanyi yang cukup dikenali dengan pekerti budiman dalam kalangan peminatnya itu hilang suara hingga tak mampu menyampaikan lagu dengan baik.

Tetapi betapa tingginya sayang peminat terhadap Zamani, mereka menutup kelompongan yang berlaku dengan menjadi suara kedua penyanyi itu.

Sama halnya yang dapat dilihat pada malam persembahan baru-baru ini, Zamani sememangnya penyanyi yang sangat disayangi peminat bahkan semua orang.

SELAKU gitaris utama dan ketua kumpulan Slam, Shah turut menghadiahkan sedikit lantunan vokalnya untuk lagu Biarkan Ia Pergi yang merupakan hasil ciptaannya.– IHSAN SHIRAZ PROJECTS

Menghampiri durasi terakhir persembahan, Slam meletakkan tiga buah lagu yang cukup sinonim dan mengangkat populariti mereka sebagai sebuah kumpulan cukup berpengaruh di negara ini suatu ketika dahulu, tak dinafikan sehingga ke hari ini.

Jika Kau Rasa Getarnya dan Gerimis Mengundang pastinya, kekal menjadi antem siulan pencinta mereka yang setia bersama mereka sejak tiga hampir dekad lalu.

Memandangkan konsert mereka berlangsung hanya satu hari, Zamani memeriahkan persembahan dengan menjemput Ratu Rock tanah air, Ella ke atas pentas dengan menyampaikan lagu Mentari Muncul Lagi.

Lebih manis, persembahan Slam turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa rakan artis yang lain.

Sempurna. Tapi pada masa sama, sebenarnya tak puas. Andai ada peluang dan situasi pandemik semakin membaik, pasti kehadiran Slam dengan projek persembahan seperti itu amatlah dinanti-nantikan peminat.

Kembali merancakkan karier yang terhalang dek keterbatasan pergerakan akibat pandemik sebelum ini, nyata aura dan populariti Slam masih kekal membara seperti hangatnya mentari yang merah menyala.

ZAMANI mengucapkan terima kasih kepada semua peminat menyokongnya dari dahulu hingga sekarang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI