KUALA LUMPUR – Warisan Anak Seni Malaysia (WASIM) menganjurkan Mini Showcase Setetes Rasa bersama komposer terkenal Rosli Selasih bagi meraikan kemunculannya semula ke dalam indusri.
Presidennya, Datuk Ahmad Din berkata, Mini Showcase ini diwujudkan bersama artis-artis tempatan bagi memberikan sokongan dan bantuan kepada komposer tersebut.
“Selain itu, kita juga ada sumbangan yang dikumpulkan melalui tabung, jualan dan juga lelongan barang seperti alatan muzik,” katanya di sini sebentar tadi.
Jelasnya, sumbangan ini diberikan kepada Rosli Selasih bagi meringankan beban untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Difahamkan, Rosli Selasih atau nama sebenarnya Rosli Md. Kasa telah menjalani pembedahan kaki apabila disahkan menghidap penyakit kencing manis sejak empat bulan yang lepas.
Sementara itu, Rosli berkata, program ini dapat merapatkan keintiman kembali dalam kalangan anak-anak seni dikala waktu pandemik ini.
“Susulan daripada program ini, kita boleh rapatkan balik dan merancang kembali apa yang kita boleh lakukan pada masa hadapan,” katanya kepada Kosmo! tadi.
Sementara itu, pencipta lagu ‘Cinta Untuk Nabil’ itu juga berharap dapat menghidupkan kembali momentum untuk dirinya menulis dan mencipta lagu setelah 15 tahun menyepi.
“Selepas ini saya akan keluarkan sebuah single berjudul ‘Terpaksa Mencintaimu’ yang akan dinyanyikan oleh Azman yang sebelum ini popular dengan lagu Terlena,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE