fbpx

Tumbuk, tendang bapa tiri angkara dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warga emas cedera akibat dipukul anak tirinya di Kampung Ruat, Yan pagi tadi.

YAN – Seorang penganggur bertindak menumbuk dan menendang bapa tirinya selepas gagal mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah dalam kejadian di Kampung Ruat di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 71 tahun mengalami bengkak di bahagian telinga kiri serta mengadu sakit pada muka dan dada.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji memberitahu, kejadian berlaku selepas lelaki berusia 29 tahun yang juga pesakit mental itu mengamuk kerana tidak diberikan wang.

“Suspek berang selepas mangsa enggan memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang dipercayai bagi membeli dadah.

“Lelaki itu bertindak menumbuk di bahagian kiri kepala serta menendang pada dada dan muka mangsa ketika mereka berada di ruang tamu rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa bersama isterinya kemudian keluar dan duduk di luar rumah sebelum suspek bertindak menendang bahagian belakang mangsa.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Yan,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan di Lubuk Boi kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 6.45 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan penagih dadah tegar dan sering memukul mangsa sekiranya gagal mendapatkan wang,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI