fbpx

Trauma terkandas lapan jam di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGALAMAN terkandas berjam-jam di Langkawi membuatkan pelancong serik untuk kembali bercuti di pulau peranginan itu. GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

PULAU Langkawi sememang­nya menjadi lokasi pelancongan dalam negara yang menjadi antara pilihan utama rakyat negara ini untuk bercuti sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Namun, di sebalik keindahan dan tawaran keseronokan bercuti yang menggamit pelancong untuk berkunjung ke pulau itu, ramai yang kecewa kerana per­khidmatan operasi feri dari Terminal Feri Kuala Perlis di Perlis ke Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi kerap tergendala.

Ia berikutan masalah air cetek dan berselut di alur pelayaran terutama sekitar kawasan terminal feri di Kuala Perlis yang semakin serius sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu pada 2 Februari lalu, seramai 423 penumpang feri terkandas hampir lapan jam selepas pengangkutan itu rosak dan memerlukan masa untuk dibaiki seterusnya tidak dapat berlayar kerana air telah surut di Kuala Perlis.

Tidak dapat dibayangkan perasaan penumpang terutama yang membawa anak kecil sambil membawa troli dipenuhi bara­ngan terpaksa bersesak bersama 400 penumpang lain di terminal feri di Kuah.

Rentetan insiden itu, Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengarahkan kerja-kerja pengerukan kecemasan dilakukan segera bagi mendalamkan alur pelayaran cetek.

Namun begitu, langkah mendalamkan kawasan terminal feri dan alur pelayaran feri di Kuala Perlis hanya memberi kesan sementara kerana lokasi sama akan kembali cetek dan berselut dalam masa kurang setahun.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan perjalanan feri dari Kuala Perlis mengikut keadaan air laut.

“Penumpang mungkin terpaksa menunggu selama lapan jam jika feri terlewat daripada ja­dual ditetapkan. Justeru, kita sentiasa mengingatkan penumpang untuk datang awal agar masalah kelewatan feri keluar dari jeti dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, masalah operasi feri disebabkan isu air cetek itu memberi kesan buruk kepada Langkawi sebagai lokasi pelancongan bertaraf dunia.

Pengangkutan feri masih menjadi pilihan ramai kerana kos lebih murah berbanding menaiki kapal terbang. Kebanyakan pelancong juga memilih untuk menaiki feri dari Kuala Perlis kerana tempoh masa perjalanan lebih singkat iaitu kira-kira sejam berbanding hampir dua jam dari Terminal Feri Kuala Kedah di Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainuddin Kadir berkata, insiden penumpang terkandas selama hampir lapan jam itu tidak boleh di­terima kerana ia bukan sahaja menyusahkan pelancong, malah menjejaskan nama Langkawi.

“Kerja-kerja pengerukan perlu dilakukan cepat dan berkesan bagi membolehkan operasi feri kembali lancar,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Nor Azam Karap pula mencadangkan pembinaan struktur tambahan iaitu jambatan pejalan kaki dari terminal utama ke tengah muara sungai dengan kemudahan pontun terapung.

“Kawasan di tengah muara Sungai Perlis masih dalam dan tak mengganggu pergerakan keluar masuk bot di muara sungai.

“Pembinaan struktur tambahan itu lebih praktikal berban­ding membina jeti feri penum­pang di kawasan lain,” katanya.

Sehubungan itu, pelaksanaan jangka panjang kepada masalah yang semakin memburuk sejak lima tahun lalu itu perlu dilaksanakan segera demi keselesaan dan keselamatan penumpang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI