fbpx

Strok halang pemandu lori terus bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Foudzi ketika menerima rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori kini hidup dalam kesedihan kerana memikirkan nasibnya pada masa hadapan apabila dia berkemungkinan akan kehilangan pekerjaan selepas diserang strok pada Disember tahun lalu.

Mohd. Foudzi Nordin, 54, berkata, doktor menasihatinya supaya tidak lagi bekerja sebagai pemandu lori kerana bimbang strok akan menyerangnya kembali.

“Saya diserang strok pada Di­sember tahun lalu di tempat kerja di Kajang. Pada awal pagi sebelum ke sana, badan saya rasa tidak selesa sehinggalah ketika berada di dalam lori, kaki dan tangan kiri saya tiba-tiba sukar digerakkan.

“Selepas turun dari lori, saya tidak boleh bergerak. Rakan se­kerja telah membantu mengurut anggota tubuh yang terjejas sebelum menghantar saya ke Hospital Kajang,” katanya kepada Kosmo! di rumah­nya di Taman Minang Ria, Cheras semalam.

Menurut bapa empat anak itu, dia menerima rawatan di Hospital Kajang selama lima hari.

Katanya, dia kemudian mendapatkan rawatan daripada tukang urut selain meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras awal bulan lalu.

“Buat masa ini, saya terpaksa bergantung dengan pendapatan isteri, Roslilawati Hamzah yang bertugas sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain,” katanya yang telah memandu lori lebih 30 tahun.

Sementara itu, Roslilawati, 45, pula berkata, mereka berkemungkinan terpaksa meneruskan hidup dengan menggunakan wang simpanan kerana suaminya itu tidak lagi dibenarkan bekerja.

“Suami masih lagi menerima gaji daripada syarikat tempatnya bekerja kerana mempunyai sijil cuti sakit, tetapi selepas doktor melarangnya bekerja, kami tak tahu bagaimana nasib selepas ini. Suami hanya tahu pandu lori.

“Buat masa ini, dia sudah boleh berjalan sendiri setelah menjalani rehabilitasi, namun tetap memerlukan alat sokongan seperti tongkat dan kerusi roda. Tangan kirinya pula masih terkulai layu,” ujarnya.

Menurut Roslilawati, suaminya juga telah mengisi borang permohonan bantuan hilang kepupayaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain memohon pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kami juga mahu memohon zakat, tak sangka daripada memberi zakat sebelum ini, kini mungkin kami menerimanya pula,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Foudzi di talian 013-339 1615.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI