fbpx

Sissy, Vanesha hadirkan getaran Backstage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Backstage mengisahkan hubungan antara kakak dan adik yang dilakonkan oleh pasangan adik-beradik popular, Sissy Prescillia dan Vanesha Prescilla.

Buat julung kalinya pasangan adik-beradik yang merupakan aktres popular Indonesia, Sissy Prescillia dan Vanesha Prescilla bergandingan dalam sebuah karya layar perak berjudul Backstage.

Ternyata taruhan pihak penerbitan Astro Shaw, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment menggabungkan pasangan adik-beradik itu ‘menjadi’ apabila filem yang terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia pada 30 Disember lalu meraih pujian positif peminat.

Berbicara tentang filem yang memilih muzik dan hubungan kekeluargaan sebagai latar ceritanya jelas penerbit Paragon Pictures, Robert Ronny dia mendapat idea untuk menghasilkan filem ini pada 2016 selepas mendengar nyanyian Sissy di pusat karaoke di Jepun.

“Ketika saya, Sissy dan barisan pelakon Ada Apa Dengan Cinta 2 diundang ke Fukuoka International Film Festival di Jepun kami sempat berjalan-jalan dan berkaraoke.

“Di situ pertama kali saya mendengar nyanyian Sissy yang dikira setanding dengan penyanyi profesional.

“Idea terus timbul untuk menghasilkan sebuah filem tentang muzik yang vokalnya digunakan oleh penyanyi lain iaitu adiknya sendiri,” ujar Robert.

Sungguhpun filem Backstage merupakan idea penerbitnya sendiri, namun karya tersebut sempat dilanda kontroversi apabila dikatakan hampir serupa dengan filem Korea Selatan, 200 Pounds Beauty.

“Memang ramai mengajukan soalan yang sama walhal ketika menghasilkan filem Backstage saya tidak pernah menonton filem dari Korea Selatan itu.

“Selepas saya menonton filem berkenaan, ceritanya sama terutama tentang penyanyi samaran, selebihnya sangat berbeza. Backstage lebih kepada hubungan kakak dan adik, manakala filem tersebut tentang isu ‘body shaming’,” tutur Robert tentang filem yang dibikin ketika musim pandemik Covid-19.

 

Yakin

Menyentuh tentang pemilihan Vanesha yang memegang watak Elsa jelas Sissy, dia yang memberi idea dan menawarkan watak berkenaan diberikan kepada adiknya sendiri.

Kata Sissy, 37, meskipun ketika itu Vanesha masih belum terjun dalam dunia lakonan, namun dia yakin dengan bakat dan potensi yang ada dalam diri adiknya, tambahan pula mereka bergandingan sebagai kakak dan adik.

“Sejak kecil saya lihat dia suka untuk menjadi model. Potensinya sudah kelihatan cuma dahulu, dia hanya bergelar selebriti media sosial.

“Kebetulan proses membikin filem ini mengambil masa yang panjang, jadi Vanesha terlebih dahulu berlakon dalam filem Dilan 1990 meskipun tawaran filem Backstage yang datang terlebih dahulu.

“Melihat lakonan dan kejayaan filem Dilan 1990, saya dan pihak penerbit bertambah yakin Vanesha selayaknya memegang watak Elsa,” kata Sissy.

Sebagai kakak, Sissy amat bersyukur apabila Vanesha meneruskan legasinya dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun, memiliki seorang kakak yang terkenal dalam industri seni bukanlah tiket mudah buat Vanesha mendapatkan tawaran lakonan.

“Saya tidak pernah masuk campur soal kerjaya adik, sebaliknya sekadar memberi nasihat sahaja.

“Soal mempromosikan Vanesha kepada pihak penerbit, saya hanya lakukan dengan orang yang cukup dekat dan sudah dianggap seperti keluarga seperti Robert.

“Selebihnya terpulang kepada usaha, bakat lakonan dan rezekinya. Contoh filem Dilan 1990, saya tidak masuk campur langsung sebaliknya, penulis skrip filem berkenaan yang mencari Vanesha,” ujar Sissy.

Menyambung bicara tentang Backstage, dedah Vanesha, 23, watak Elsa memiliki banyak persamaan dengan dirinya tetapi karakter kakaknya pula jauh bertentangan dalam filem dan realiti.

“Dalam filem, Sandra seorang yang penyabar dan sentiasa mendahulukan adiknya dan meletakkan dirinya di tempat kedua.

“Kakak saya yang sebenar tidak begitu (ketawa). Sebagai kakak, Sissy sangat bertanggungjawab terhadap keluarga, realistik dan tegas,” kongsi Vanesha.

Selain daripada itu, Sissy dan Vanesha turut menyumbangkan vokal mereka untuk tujuh buah lagu yang menjadi runut bunyi filem Backstage.

Antaranya lagu yang dinyanyikan berjudul, Melangkah, Aku Takkan Berhenti dan Apa Adanya selain menyanyikan semula lagu-lagu popular seperti Seberapa Pantas, Terbaik Untukmu, I Remember dan Bagaikan Langit.

Filem Backstage arahan Guntur Soeharjanto turut dibintangi Achmad Megantara, Aulia Sarah, Karina Suwandi, Ferry Salim, Verdi Solaiman dan Roy Sungkono.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI