MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan tidak takut dengan ugutan sekatan yang diumumkan oleh Barat, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Duta Rusia ke Sweden, Viktor Tatarintsev berkata, lebih kuat tekanan yang diberikan oleh Barat ke atas Rusia, lebih kuat lagi tindak balas yang akan ditunjukkan oleh Kremlin.
“Kami boleh menjana ekonomi tanpa bantuan asing dan berjaya meningkatkan sektor eksport dengan baik,” kata Tatarintsev.
Beliau berkata, sekatan Barat sebaliknya akan membantu ekonomi Rusia berkembang terutamanya sektor pertanian.
Sejak beberapa minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kepada Putin tentang impak dahsyat sekatan ekonomi Barat ke atas Moscow selepas mendakwa Rusia akan menyerang Ukraine pada minggu ini.
Maklumat perisikan baharu kini mendakwa Rusia akan menceroboh Ukraine esok.
Kelmarin Biden meluangkan masa lebih sejam untuk berbincang dengan Putin menerusi panggilan telefon.
“Biden telah memberi penerangan yang jelas bahawa sekiranya Rusia meneruskan pelan menyerang Ukraine, AS dan sekutu-sekutunya akan melaksanakan sekatan besar-besaran ke atas republik itu.
“Beliau menegaskan bahawa pencerobohan Moscow akan menyebabkan penderitaan rakyatnya dan menyebabkan Rusia lebih mundur,” demikian kenyataan dikeluarkan oleh White House.
Kata Biden lagi, pintu rundingan akan sentiasa terbuka, namun pada masa yang sama, Barat bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Kremlin memaklumkan akan menyemak maklum balas AS mengenai tuntutan jaminan keselamatan oleh Moscow sebelum mengumumkan tindakan seterusnya.
Putin menuntut Ukraine tidak dibenarkan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai syarat utama beliau memanggil pulang 100,000 askar Rusia yang kini bersiap sedia di sempadan kedua-dua negara. – Agensi