MADRID – Real Madrid tidak berada dalam keadaan terbaik menjelang pusingan 16 pasukan terbaik saingan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Parc des Princes awal pagi esok.
Apa tidaknya, pendahulu La Liga itu hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan terakhir selain diikat seri tanpa jaringan ketika bertemu Villarreal Sabtu lalu.
Jurulatih Los Blancos, Carlo Ancelotti mengakui, beliau bimbang dengan prestasi semasa yang ditampilkan pasukan itu, lebih-lebih lagi kapten, Karim Benzema masih bergelut dengan tahap kecergasan.
“Kami tidak dapat menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir dan ia sangat membimbangkan saya. Kami memiliki tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol ketika bertemu Villarreal tetapi gagal memanfaatkannya.
“Saya harap kami boleh tampil lebih tajam apabila berdepan PSG dalam saingan Liga Juara-Juara nanti.
“Selain itu, pemain-pemain juga perlu bermain lebih agresif berbanding sebelum ini,” kata pengendali dari Itali itu.
Pada masa sama, beliau turut memberi bayangan pemain sayap, Gareth Bale mungkin diberi kepercayaan ketika bertemu PSG selepas menunjukkan aksi cukup baik menentang Villarreal.
“Saya belum pasti sama ada Bale akan bermula dalam kesebelasan utama ataupun tidak, tetapi dia menunjukkan kesungguhan dan sangat berbahaya ketika menyerang. Saya akan buat keputusan sebelum perlawanan bermula,” ujar Ancelotti. – AGENSI