LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akan akan mengetuai siri rundingan diplomatik terakhir minggu ini dalam usaha untuk mengelak perang tercetus di Ukraine, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Tempoh berbaki 48 jam akan datang dikatakan amat penting bagi mengelak perang tercetus termasuk potensi berlakunya Perang Dunia Ketiga dengan Johnson dilaporkan akan mengadakan jelajah rundingan ke negara-negara Eropah termasuk rantau Eropah Timur bagi mencari jalan penyelesaian.
Pada malam kelmarin, Johnson telah memberi amaran bahawa krisis di Eropah Timur itu sudah memasuki fasa kritikal.
Namun begitu, Britain dan sekutu-sekutu Barat lain termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan berusaha hingga ke saat akhir untuk menarik Kremlin kembali ke meja rundingan.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Britain itu turut mengulangi sokongan ekonomi kepada Ukraine ketika 130,000 askar Rusia kini hanya menunggu lampu hijau Presiden Vladimir Putin untuk menyerang.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace akan menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatannya dari NATO di Brussels minggu ini untuk menyediakan pelan tindak balas terhadap sebarang serangan ke atas kedaulatan Ukraine.
Ia susulan pendedahan oleh agensi-agensi Perisikan Amerika Syarikat (AS) mengenai rancangan terperinci Moscow yang dilaporkan akan memulakan penaklukan dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Ukraine esok.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bagaimanapun menuntut untuk melihat bukti mengenai kesahihan pelan pencerobohan oleh Rusia seperti yang didakwa oleh Washington.
“Jika anda (AS) atau pihak lain mempunyai maklumat tambahan mengenai pencerobohan 100 peratus Rusia bermula esok, sila berikan maklumat itu kepada kami,” ujar Zelensky.
Terdahulu, Downing Street dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri Britain yang memberi tumpuan kepada usaha untuk menamatkan krisis di Eropah Timur itu, menerima taklimat perisikan setiap hari mengenai peningkatan bilangan askar Rusia.
“Krisis di sempadan Ukraine telah mencapai titik kritikal. Semua maklumat yang kami ada menunjukkan bahawa Rusia boleh melakukan pencerobohan ke atas Ukraine pada bila-bila masa.
“Ini akan membawa akibat buruk untuk kedua-dua negara, Ukraine dan Rusia. Masih ada peluang untuk membuat pengunduran dan diplomasi dengan Perdana Menteri (Johnson) akan terus bekerja keras supaya Rusia membatalkan hasrat tersebut,” demikian kata seorang jurucakap Downing Street. – Agensi