KUALA SELANGOR – Tindakan bersahaja sepasang suami isteri yang tular mencuri alat pembesar suara di sebuah kedai aksesori di daerah ini, minggu lalu memakan diri apabila apabila dicekup polis di sebuah premis di Puncak Alam, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu turut menahan seorang lelaki yang juga saudara kandung mereka dan kesemuanya berusia 16 hingga 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, penahanan mereka hasil laporan mengenai kecurian pada 9 Februari lalu dengan aksi mereka berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) kedai aksesori di Bandar Melawati di sini.
Katanya, berdasarkan CCTV itu mendapati ketiga-tiga suspek memasuki premis tersebut dan mencuri dua alat pembesar suara dan lima unit Vape Pen yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM437.
“Berdasarkan pengakuan salah seorang suspek, kita merampas sebuah alat pembesar suara yang dicuri di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saki baki barang kes lain dengan kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kejadian itu tular menerusi video berdurasi 20 saat yang memaparkan dua lelaki dan seorang wanita berada di luar sebuah kedai.
Seorang daripada mereka kemudian bertindak mengambil sebuah alat pembesar suara lalu beredar dari lokasi tersebut. -KOSMO! ONLINE