MYANMAR hadir pada Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dalam serba tidak kena ekoran kemelut politik yang melanda negara itu dan isu kecederaan yang melanda beberapa pemain utama.
Situasi yang dihadapi Myanmar ini memaksa pengendalinya, Velizar Popov menyenaraikan pemain daripada skuad B-19 dan langkah itu dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk mendedahkan ‘ubi muda’ dengan pertandingan lebih kompetitif.
“Kami hilang ramai pemain utama kerana situasi politik di Myanmar. Ada pemain yang terpaksa bersama keluarga, malah ada juga yang mengalami kecederaan.
“Saya bawa beberapa pemain daripada skuad B-19 dan kita akan lihat sejauh mana kemampuan pasukan ini,” katanya.
Hari ini, Myanmar bakal membuat perhitungan sulung Kumpulan B menentang Malaysia di Stadium Prince diikuti aksi kedua menentang Laos, Isnin ini.
Hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik akan layak ke pusingan separuh akhir dan situasi yang melanda Myanmar ketika ini menyaksikan kelebihan lebih condong kepada Malaysia untuk mengungguli saingan peringkat kumpulan.
Menyedari Malaysia yang akan dihadapi pasukannya hari ini dengan barisan skuad terbaik, Popov yang pernah melatih Kelantan melihat situasi itu sebagai perkembangan positif buat pemainnya untuk lebih bersedia khususnya bagi menghadapi Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini.
“Saya akan beri peluang kepada setiap pemain dan daripada situ, kita akan dapat menilai kemampuan mereka,” katanya.