MILAN – Gergasi Itali, AC Milan kembali mencapai status sebenar mereka apabila merampas takhta pendahulu Serie A daripada seteru tradisi, Inter Milan selepas menewaskan Sampdoria 1-0 di San Siro malam kelmarin.
The Rossoneri berjaya memintas Inter dengan kelebihan satu mata selepas skuad juara bertahan itu sekadar seri 1-1 dengan satu lagi pencabar utama di tempat ketiga, Napoli awal pagi kelmarin.
Begitupun, pengendali Milan, Stefano Pioli enggan terlalu awal membayangkan gelaran Scudetto bakal menjadi milik pasukannya sekali gus menamatkan penantian 11 tahun Milan untuk bergelar juara Serie A.
“Objektif kami tetap sama dan tidak berubah iaitu memperbaiki pencapaian musim lalu yang menyaksikan kami berjaya meraih 79 mata keseluruhan.
“Lagipun, persaingan liga masih lagi panjang dan kami perlu sentiasa memastikan kami berada dalam keadaan bersedia dalam apa jua situasi. Cumanya saya gembira kami kini di landasan tepat,” katanya.
Penyerang Portugal, Rafael Leao muncul wira selepas golnya pada minit kelapan menghadiahkan tiga mata berharga buat Milan dalam aksi itu.
Leao, 22, berjaya mengawal baik hantaran bola daripada Mike Maignan yang turut mencipta nama selaku penjaga gol pertama Milan untuk melakukan umpanan jaringan selepas Dida melakukannya pada 2006.
Gol itu menyaksikan Leao kini sudah meledak 10 jaringan buat Milan musim ini sekali gus menjadi pertaruhan terbaik masa hadapan tanpa perlu mengharapkan khidmat daripada dua penyerang veteran mereka, Zlatan Ibrahimovic dan Olivier Giroud. – AGENSI