PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia dan Filipina semalam telah mencapai kata sepakat untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi lengkap Covid-19 negara masing-masing secara timbal balas.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, pengembara dari Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan menunjukkan bukti sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera mereka.
“Sementara pengembara dari Filipina akan turut dibenarkan memasuki Malaysia dengan bukti sijil imunisasi yang lengkap dalam aplikasi negara jiran itu, VaxcertPH,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun ujar Wisma Putra, kemasukan pengembara masih tertakluk kepada prosedur kuarantin dan protokol semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara itu.
Persetujuan tersebut turut membolehkan Kedutaan Besar Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat negara ini yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino kelmarin.
Wisma Putra berkata, pada dasarnya Malaysia mengiktiraf pengembara lengkap vaksin diluluskan di bawah senarai kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Ini turut meliputi vaksin yang diberi kelulusan pihak berkuasa negara-negara tertentu tetapi isu pentauliahan sijil MySejahtera pula tertakluk kepada keputusan kerajaan negara itu,” katanya. KOSMO! ONLINE