fbpx

Malaysia, Brunei setuju pergerakan rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) bersama Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) ketika lawatan rasmi ke Brunei hari ini.

PETALING JAYA – Pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei akan dilaksanakan kelak selepas kedua-dua negara bersetuju mewujudkan Vaccinated Travel Lane (VTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu diperoleh menerusi perbincangan bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Alhamdullilah, lawatan rasmi pertama saya selama dua hari ke Brunei Darussalam telah berlangsung dengan baik dan sempurna. Banyak perkara dibincangkan dengan Tuanku Baginda Seri Sultan Hassanal Bolkiah.

“Antara perkara dipersetujui termasuk mengenai VTL bagi pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei Darussalam dengan pelaksanaan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan,” katanya menerusi hantaran Facebook tadi.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya, kementerian berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan insiatif VTL itu.

“VTL bagi pergerakan rentas sempadan darat juga dalam pertimbangan kedua-dua pihak.

“Brunei juga bersetuju mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat kedua-dua buah negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan turut menjemput Brunei untuk sama-sama terlibat dalam penghasilan vaksin Covid-19.

“Buat permulaan, Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) bersedia bekerjasama dengan pakar-pakar dari Universiti Brunei Darussalam dalam penyelidikan Antibody Response to COVID19 Vaccines.

“Kami juga berbincang mengenai Lebuh Raya Trans-Borneo Malaysia-Brunei termasuk menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke CIQ Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei,” ujarnya.

Pembinaan lebuh raya sepanjang 5 kilometer itu dijangka bermula pada 2023.

Dalam perkembangan sama, pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas sedang dalam proses rekabentuk serta mengambil balik tanah dan dijangka siap dalam masa 48 bulan.

Antara isu lain dibincangkan termasuklah isu serantau seperti situasi di Myanmar dan di Laut China Selatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI