ALOR SETAR – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal apabila ditahan polis di Kilometer (KM) 45 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini pada Jumaat lalu.
Suspek berusia 38 tahun sebelum itu dikesan memandu sebuah van jenis Toyota Hiace dan berhenti di tepi Jalan PKNK Utama di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira pukul 8.10 malam.
Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki dipercayai warga asing keluar dari kawasan semak dalam keadaan tergesa-gesa sebelum masuk ke dalam van tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, cubaan penyeludupan migran itu dikesan hasil intipan sepasukan polis ronda cegah jenayah dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dekat sini.
Katanya, van yang memuatkan kumpulan PATI itu kemudian memecut laju ke arah jalan besar sebelum kenderaan berkenaan ditahan di KM 45 Lebuh Raya Utara-Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE