ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat ditetak pada tangan dan muka sebelum dibakar dalam kejadian di sebuah bangunan panggung wayang lama yang terbiar di Simpang Kuala di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia lingkungan lewat 40-an itu ditemui anggota bomba ketika melakukan kerja-kerja memadam kebakaran di bangunan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G. Suresh Kumar memberitahu, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran di bangunan berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.
“Mayat lelaki itu ditemui di bawah sofa dan tilam yang terbakar di sebuah bilik tingkat atas bangunan itu.
“Suspek dipercayai bertindak sedemikian bagi memastikan mangsa mati,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE