PONTIAN – Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian menetak seorang lelaki tempatan di sebuah restoran di Bandar Benut di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.20 petang yang berlaku di sebuah restoran.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dari saksi kejadian.
“Bagaimanapun mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan kerana terdapat kesan luka yang parah akibat tetakan dipercayai parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, saksi ditempat kejadian memaklumkan, mereka melihat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki kenderaan Toyota Alparhd berwarna putih dengan nombor pendaftaran JTS 6818.
“Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran tersebut adalah palsu , rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang ada direstoran tersebut akan dijadikan bahan bukti kejadian tersebut. Mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah dibahagian tangan kanan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A.Fadzil ditalian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut.-KOSMO! ONLINE