JOHOR BAHRU – Johor memerlukan dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan pembangunan ketara supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, itu adalah perkara yang perlu dilakukan setelah jumlah pelaburan di negeri ini mula menjunam selepas 2018.
“Johor merupakan negeri yang mempunyai jumlah pelaburan tertinggi antara tahun 2016, 2017 dan 2018. Tetapi selepas 2018, jumlah pelaburan di Johor mula menjunam.
“Saya berharap ekonomi negeri akan bertambah baik dan dapat secara langsung menyediakan lebih peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi milik baginda.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata, ini amat penting bagi memastikan rakyat boleh menjana lebih pendapatan dan mempunyai keupayaan perbelanjaan yang lebih tinggi.
“Kita memerlukan dasar-dasar ekonomi yang menggalakkan perkembangan ekonomi dan pembangunan ketara. Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi. Ini harus menjadi keutamaan kita,” katanya.-KOSMO! ONLINE