WASHINGTON – Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan telah dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK kelmarin.
Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X.
Pada bulan lalu, seorang ahli astronomi amatur, Bill Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.
Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, sebaliknya roket lama milik China.
Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.
Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.
“Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif,’ tulis Gray dalam catatan blog baharunya. – Agensi