IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan perbicaraan kes rogol membabitkan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong atas alasan beliau merupakan kontak dengan pesakit Covid-19.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menangguhkan perbicaraan itu pada 16, 30 dan 31 Mac depan selepas Datuk Rajpal Singh yang mewakili pasukan pembelaan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dan isteri, Too Choon Looi yang merupakan saksi pembelaan pertama dan kedua sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Menurut Rajpal, pasangan suami isteri tersebut menjadi kontak rapat kepada adik perempuan Choon Looi yang disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.
“Status MySejahtera Choo Kiong dan isterinya juga bertukar warna kepada jingga yang menunjukkan mereka mempunyai kontak dengan Covid-19.
“Berdasarkan itu, pihak pembelaan terpaksa memohon penangguhan kerana saksi pembelaan pertama iaitu tertuduh sendiri tidak dapat hadir ke mahkamah,” katanya ketika prosiding pada sambung bicara peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut Rajpal, pihaknya juga telah menyerahkan penyata saksi bagi kedua-dua saksi pembelaan kepada pihak pendakwaan pada 31 Januari lalu.
Mahkamah sepatutnya menyambung perbicaraan pada peringkat pembelaan hari ini terhadap Choo Kiong, 52, atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.-KOSMO! ONLINE