fbpx

Aruwin gah meluncur di Beijing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERTAAN Aruwin dalam acara slalom gergasi dan slalom membuka mata banyak pihak dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

SELEPAS keterujaan menyaksikan atlet negara bersaing pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, Jepun tahun lepas, perhatian kini beralih pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 di Beijing, China.

Ramai sebenarnya yang tidak ambil peduli mengenai Olimpik Musim Sejuk kerana sebelum ini tiada wakil Malaysia beraksi sehinggalah penganjuran berlangsung di Pyeongchang, Korea Selatan pada tahun 2018.

Pada 2018, dua atlet Malaysia berjaya meloloskan diri untuk bersaing di Pyeongchang iaitu peluncur ski alpine, Jeffrey Webb dan atlet figure skating, Julian Yee, namun Julian tidak bertanding di Beijing kali ini.

Sebagai makluman, Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dianjurkan di Beijing, China melibatkan tiga lokasi iaitu Beijing, Yangqing dan Zhangjiakou.

Terdapat 109 acara dalam tujuh sukan dipertandingkan pada edisi di Beijing seperti luncur, ski, hoki ais, lencong, bobsleigh, luge dan biatlon.

Terletak 75 kilometer (km) di barat laut Kota Beijing, acara ski alpine dan gelongsor (bobsleigh, luge dan skeleton diadakan di daerah Yanqing, manakala acara ski dan papan salji termasuk merentas desa, lompat ski dan banyak lagi berlangsung di Zhanjiakou, destinasi ski terkenal yang terletak 180km barat laut Beijing.

Menariknya, edisi Musim Sejuk kali ini telah muncul satu nama baharu yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat sukan di Malaysia apabila bahkan mencetus fenomena iaitu Aruwin Salehhuddin.

Atlet ski alpine negara berusia 17 tahun itu mencatatkan dirinya sebagai wanita Malaysia pertama dalam buku sejarah apabila membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang dilihat mula membuka mata ramai pihak di negara ini.

Meskipun gagal meraih sebarang pingat, penampilan bertenaga Aruwin yang muncul sebagai atlet termuda mewakili Malaysia dalam acara slalom gergasi dan slalom di Pusat Ski Alpine Nasional Yangqing wajar dipuji dan mengejutkan ramai pihak.

Pujian bukan hanya kepada kemahirannya dalam meluncur laju di atas salji, malah keyakinan tinggi dan semangat juang yang ditonjolkannya ketika bersaing dengan jagoan ski dunia harus dicontohi.

Justeru, penulis berpendapat, sudah tiba masanya Malaysia terutamanya persatuan sukan ski ini mula menerokai acara-acara yang boleh disertai atlet negara pada masa depan memandangkan anak tempatan mampu melakukan kejutan.

Biarpun Malaysia bukanlah negara beriklim empat musim, penulis percaya anak-anak Malaysia mampu menyerlah pada Sukan Olimpik Musim Sejuk jika ada perancangan yang lebih teliti dilakukan oleh persatuan terbabit.

Pada masa sama, persatuan sukan terbabit juga perlu memainkan peranan meyakinkan kerajaan dengan menyediakan ‘blue print’ perancangan jangka panjang dalam usaha membina kumpulan atlet bagi bersaing pada Olimpik Musim Sejuk.

Memetik moto hidup Aruwin yang dititip hasil nasihat bapa saudara dan disematkannya di dalam hati iaitu: “Hidupkan impian anda malah pastikan mentaliti anda kuat mengatasi segala-galanya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI