LEBIH daripada 65 pelumba cilik motorcross akan menggegarkan saingan MX Kids Fun Race Series 2022 yang akan membuka tirai pada 26 hingga 27 Februari ini di Ulu Yam, Selangor.
Penganjur kejohanan, Aryani Azman berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan perlumbaan itu selepas sambutan menggalakan musim lalu.
Kata Aryani, perlumbaan tahun itu sedikit mencabar kerana melibatkan lima pusingan dan akan meliputi tiga kategori utama iaitu 50cc, 65cc dan 85cc.
“Perlumbaan MX Kids Motorcross adalah kejohanan kedua yang kita anjurkan selepas saingan pertama tahun lalu. Kami mendapat sambutan daripada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka menyertai sukan lasak ini.
“Kategori 50cc akan melibatkan peringkat umur tujuh hingga sembilan tahun, manakala 85cc meliputi umur 13 hingga 16 tahun. Bagi saingan 65cc melibatkan 10 hingga 12 tahun.
“Perlumbaan ini mendapat kerjasama Persatuan Sukan Bermotor Ekstrem Negeri Selangor (Sema) dan pastinya saingan menarik mampu disaksikan hujung bulan ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Aryani turut menegaskan, penyertaan masih terbuka kepada sesiapa berminat untuk menyertai kejohanan tersebut.
“Penyertaan masih terbuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar penyertaan boleh menghubungi kami di talian 018-294 8000,” ujarnya.