PUTRAJAYA – Kesemua 20 warga Malaysia yang berada di seluruh Ukraine disahkan berada dalam keadaan selamat susulan laporan ketegangan diplomatik dengan jirannya, Rusia.
Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, pihaknya turut memantau rapi segala perkembangan mutakhir di negara Eropah itu termasuk kebajikan rakyat Malaysia di sana.
“Mereka semua turut berdaftar dengan rekod pihak Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Kyiv termasuk sembilan orang kakitangan diplomatik dan tanggungannya,” kata Wisma Putra.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, kenyataan itu jelas merujuk situasi di Ukraine yang dalam ambang perang dan mungkin diserang 100,000 tentera Rusia pada Rabu ini.D
Media Eropah semalam mendedahkan laporan perisikan yang mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin bakal mengarahkan pencerobohan askarnya pada pertengahan minggu ini.
Ketegangan yang memuncak itu juga menyaksikan kerajaan Amerika Syarikat dan Britain menggesa rakyat mereka segera meninggalkan Ukraine sebelum perang tersebut meletus.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, setakat ini pihak kedutaan sentiasa menghubungi rapat kesemua rakyat Malaysia termasuk dua orang pelajar universiti di negara berkenaan.
“Kementerian Luar juga meminta mana-mana warga Malaysia yang berada di Ukraine namun belum berdaftar lagi dengan pihak kedutaan agar segera berbuat demikian,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE