MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Luke Shaw mengakui pasukannya kehilangan keyakinan dan rentak selepas mereka gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut biarpun berjaya mendahului perlawanan.
Pada aksi kelmarin, United sekadar terikat 1-1 menentang Southampton biarpun terlebih dahulu berada di hadapan dan situasi itu hampir sama dengan apa yang berlaku ketika mereka menentang Middlesbrough dan Burnley sebelum ini.
Ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan United berjaya memulakan aksi dengan baik kemudian berjaya menjaringkan gol pendahuluan, namun bolos dan gagal untuk kembali mendapatkan jaringan.
Pada perlawanan di Old Trafford kelmarin, United berada di hadapan menerusi jaringan Jadon Sancho pada babak pertama, namun selepas dua minit babak kedua bermula, mereka melepaskan gol untuk Southampton untuk menyamakan kedudukan.
Keputusan itu nyata mengecewakan pengurus mereka, Ralf Rangnick dan Shaw mengakui bahawa dia dan rakan sepasukannya mula hilang keyakinan selepas Che Adams meledak gol penyamaan tersebut.
“Sejarah itu berulang lagi, kami bermain dengan baik pada 30 minit pertama, mencipta banyak peluang dan bersemangat untuk memenangi perlawanan ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri. Kami sangat agresif dan semua berjalan dengan baik.
“Kemudian, senarionya berubah selepas bermulanya babak kedua. Kami bercakap mengenai pentingnya memulakan babak kedua dengan baik ketika di bilik persalinan sewaktu rehat.
“Mungkin kerana banyak kali kami berdepan situasi yang sama, keyakinan itu menjadi menurun dan rentak kami juga gagal dikekalkan.
“Kami tidak cukup baik, kami perlu segera meningkatkan permainan dan paling penting adalah keputusan dan pungutan mata.
“Kami tahu apa yang perlu dicapai pada baki musim ini dan jika kami berterusan kehilangan mata, kami tidak akan ke Liga Juara-Juara,” jelasnya. – AGENSI