fbpx

Tersingkir Big Stage, Iqbal dapat tawaran berlakon pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IQBAL ZULKEFLI bakal berlakon di sisi Zul Ariffn dan Mimi Lana tidak lama lagi.

PETALING JAYA – Dikecam bahkan disedarkan bahawa dia langsung tidak ada bakat nyanyian dan tidak layak berada di pentas Big Stage musim keempat (BS4), rezeki Iqbal Zulkefli dalam bidang seni nampaknya belum bernoktah.

Bidang nyanyian sudah diceburi, Iqbal kini bersedia untuk bergelar pelakon pula apabila mendapat tawaran lakona  dalam drama bersiri 30 episod arahan pengarah tersohor, Erma Fatima.

Paling membuatkan pemilik nama penuh Ahmad Iqbal Zulkefli itu teruja, dia bakal bergandingan dengan barisan pelakon terkenal tanah air iaitu Zul Ariffin dan Mimi Lana.

“Alhamdulillah, saya ditawarkan membintangi sebuah drama 30 episod daripada Erma ketika masih berada di Indonesia lagi. Watak saya bukan hero tetapi karakter yang akan menghiburkan ramai.

“Erma sendiri yang tawarkan watak kepada saya. Insya-Allah penggambaran akan bermula pada 16 Februari depan. Gementar tetapi teruja untuk berlakon dengan barisan pelakon yang hebat,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Ditanya mengenai dirinya bersedia untuk dakwaan mengatakan dirinya tamak menerima semua peluang yang hadir, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida itu memberitahu hanya ingin menimba pengalaman dalam pelbagai bidang.

“Ada juga terfikir hal tersebut tetapi saya hanya tekankan, jika belum mencuba, kita tidak akan tahu kemampuan diri sendiri.

“Jika hendak bandingkan karier sebagai penyanyi dan pelakon, rasa-rasanya saya lebih ke arah dunia lakonan. Insya-Allah akan berikan yang terbaik sekali gus tidak akan mensia-siakan peluang yang ditawar kak Erma.

“Ketika usia muda inilah saya patut cuba pelbagai bidang. Manalah tahu rezeki saya lebih mencurah sebagai pelakon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iqbal menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan penglibatannya dalam BS4 sebagai menjatuhkan maruah sendiri.

Iqbal berpendapat, perkataan ‘menjatuhkan maruah’ itu sesuai digunakan jika dia terbabit dengan perkara-perkara yang lebih mengaibkan seperti menjual badan (melacur).

“Saya tidak rasa telah menjatuhkan maruah sendiri selepas menyertai BS4. Saya bukannya menjual badan. Saya rasa lebih bermaruah untuk terus berjuang dan tidak patah semangat.

“Saya tetap akan menyanyi dan keluarkan lagu selepas ini selain tidak akan berhenti daripada mengikuti kelas vokal,” katanya.

Menyentuh tentang komen ‘pedas’ oleh juri tetap, Ajai apabila berterus-terang memberitahu dirinya tidak dikurniakan bakat sebagai penyanyi, Iqbal mengakui tidak terasa hati apabila dilemparkan komen sebegitu.

“Saya tidak terasa dengan komen juri (Ajai) dan ambil serius apa yang dia katakan. Cuma komennya terlalu lantang. Saya jadi termenung dan terfikir semula apabila diberitahu oleh guru vokal bahawa saya boleh lakukan (menyanyi).

“Saya ada suara, bukannya tidak ada. Cuma saya perlu lebih fokus sebab dalam kepada saya terlalu banyak berfikir. Apa pun, saya akan teruskan dalam bidang seni. Ini baru permulaan, bukannya pengakhiran,” ujarnya.

Biarpun digelar ‘kalis kecaman’, Iqbal mengakui adakalanya dia akan menangis apabila membaca komen-komen kecaman netizen, terutama ketika bersendirian.

“Bila saya sendirian, saya jadi sedih tiba-tiba. Sebab saya juga manusia. Sekebal mana pun hati, perasaan itu tetap hidup.

“Saya tahu hati saya kebal, tapi ada ketika, hati saya rapuh juga. Saya mengaku ada masanya saya menangis bila terlalu hebat dikecam netizen,” katanya.

Ahad lalu, Iqbal diumumkan sebagai peserta BS4 pertama yang tersingkir pada konsert mingguan kedua.

Penyingkiran yang disifatkan memuaskan hati ramai itu meraih pelbagai reaksi umum sehingga namanya sohor kini dalam Twitter.

Penyertaannya sebagai peserta ke-12 BS4 turut dikecam ramai termasuklah beberapa selebriti tanah air seperti Datuk Hattan yang mempertikaikan kelayakannya bergelar penyanyi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI