JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa supaya kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Guan Eng menyuarakan pandangan itu selepas insiden seorang menteri dan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang didakwa melanggar arahan itu dalam satu program politik di sini, semalam.
Menurut beliau, tindakan mereka yang sewenang-wenangnya boleh melanggar SOP menimbulkan persoalan sama ada kerajaan serius atau tidak melawan pandemik Covid-19.
Katanya, mereka juga tertanya-tanya adakah keadaan Covid-19 ketika ini sebenarnya tidak terlampau serius sehingga mendorong menteri yang turut terlibat dalam membuat keputusan berkaitan wabak itu dengan mudah melanggar SOP.
“Hari ini semua yang hadir (program) ikut SOP Covid-19, kita lihat ada penjarakan seperti mana ditetapkan. Namun, ada pihak yang tak ikut, mereka boleh buat (langgar) sewenang-wenangnya dan hanya kena denda RM1,000 sahaja.
“Mereka ini anda bagi (kompaun) RM1,000 ke, RM10,000 ke atau RM100,000 denda sekali pun tidak akan memberi kesan sama sekali dan yang paling penting yang langgar SOP itu adalah orang yang buat SOP.
“Kita nak tahu mereka cakap benar atau tidak, seriuskah (Covid-19) kerana kalau boleh langgar sesuka hati mengapa tak boleh ceramah dalam PRN, mesti adil kepada semua dan jangan ambil kesempatan guna Covid-19 untuk halang pembangkang bersemuka dengan rakyat,” katanya berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) + Muda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada pelanggaran SOP oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin utama BN lain.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan kompaun dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Sembrong itu dan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad serta Pengerusi MIC, Tan Sri S. Vigneswaran di bawah Akta 342 kerana melanggar SOP dalam program anjuran MIC. -KOSMO! ONLINE