KUALA LUMPUR – Pihak polis menerima sebanyak enam laporan berhubung kes dakwaan guru sekolah menjadi mangsa sindiket penipuan Touch ‘n Go eWallet.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, polis akan merujuk perkara tersebut kepada pihak Touch ‘n Go untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Setakat hari ini sebanyak enam laporan telah diterima pihak polis dan kita akan rujuk ke pihak Touch ‘n Go untuk siasat.
“Jika ada kesalahan jenayah, mereka akan buat laporan dan kita akan siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, hampir 50 guru di lapan sekolah sekitar Lembah Klang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan Touch ‘n Go eWallet di mana wang mereka di dalam aplikasi tersebut lesap. – KOSMO! ONLINE