SHAH ALAM – Seorang pemandu kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan rasuah termasuk pilihan bernilai RM8,850 bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan, tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Azwan Shah Abdullah, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Mengikut keempat-empat pertuduhan, Muhamad Azwan didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah RM8,850 sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaran kenderaan jabatan itu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Muhamad Azwan yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur turut didakwa empat pertuduhan pilihan dengan jumlah rasuah dan dorongan sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua wang tersebut diperoleh daripada seorang lelaki berusia 36 tahun di empat lokasi berbeza iaitu melibatkan restoran di Kelana Jaya; perumahan Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Kelana Jaya serta di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Shah Alam antara 25 Februari hingga 25 Mac 2021.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan passport diserah kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi memohon jaminan dikurangkan susulan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu menanggung isteri serta bayi yang baharu berusia 10 bulan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dan membnarkan syarat tambahan pendakwaan dan kes ditetapkan pada 17 Mac depan.
Kosmo! pada 22 Oktober tahun lalu melaporkan seorang pemandu kenderaan di bahagian penguatkuasaan sebuah jabatan kerajaan direman lima hari bagi membantu siasatan rasuah lebih RM11,000 bagi kerja-kerja penyelenggaran sembilan kenderaan kenderaan di jabatan itu. -KOSMO! ONLINE