MANDALIKA – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia masih belum berpuas hati dengan prestasi jentera selepas melakukan tunggangan dalam beberapa sesi ujian menjelang saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2022.
Bagaimanapun, dia percaya pasukannya mampu untuk mencari pelarasan terbaik bagi ‘menjinakkan’ jentera Desmosedici GP22 sebelum perlumbaan pertama pada Grand Prix (GP) Qatar bulan depan.
Justeru, pada sesi ujian yang berlangsung di Litar Mandalika, Bagnaia dapat merasakan dia semakin hampir untuk mendapatkan pelarasan sempurna bagi menghasilkan catatan masa yang lebih baik.
“Saya fikir dalam sesi ujian hari ini (kelmarin), kami adalah antara pasukan terpantas kerana melakukan catatan masa yang baik. Mungkin ia turut disebabkan oleh cuaca dan penggunaan tayar lembut.
“Bagaimanapun, saya mendapati pada 10 pusingan terakhir, catatan masa kami semakin merosot. Oleh itu, masih ada beberapa masalah yang perlu diselesaikan bagi memastikan kepantasan jentera kekal,” kata pelumba dari Itali itu.
Walaupun masih belum serasi 100 peratus dengan jentera baharu, namun Bagnaia mengakui, dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri sama seperti aksi yang ditampilkan musim lalu.
“Kami sentiasa buat pembaharuan terhadap jentera pada setiap hari. Mungkin saya belum benar-benar faham 100 peratus dengan GP22, namun saya percaya potensinya sangat besar,” ujarnya. – AGENSI