PETALING JAYA – Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru, Ipoh yang dibina bertujuan sebagai tarikan utama pelancong ke Perak akhirnya tidak dapat bertahan lama.
Terdahulu, MAPS telah ditutup sepenuhnya pada Januari tahun lalu disebabkan mengalami masalah kewangan.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata orang ramai mengharapkan MAPS dibaik pulih semula agar dapat beroperasi seperti sebelumnya kerana ia mampu menarik lebih ramai jumlah pelancong ke negeri itu.
Selain itu, ada juga pengguna yang sempat merasai pengalaman berkunjung ke taman tema tersebut serta mengakui rindukan suasananya kerana terdapat pelbagai watak animasi popular yang menjadi tarikan buat kanak-kanak.
“Kenapa tak hidupkan semula tempat ini, kumpulkan idea-idea anak muda yang kreatif untuk majukan semula, tempat ini cantik, banyak tarikan untuk pelancong datang ke Perak,” kata Su Aozora.
“Kumpulkan semula dana, cari pihak pengurusan yang mampu kendalikan semula projek taman tema ini, hidupkan dan jadikan tempat tarikan kunjungan pelancong luar dan orang ramai,” ujar Md Sarip.
“Anak-anak suka pergi tempat ini, tarikan patung animasi, penggunaan warna yang pelbagai, memang boleh maju, cuma pihak pengurusan kena lebih teratur, kena bijak rancang strategi untuk tarik minat orang ramai,” kongsi Fauziah Zahar. – K! ONLINE