BANDAR CHIHUAHUA, CHIHUAHUA – Pengguna di media sosial cuba menyelesaikan satu misteri berkaitan berpuluh-puluh ekor burung yang mati berguguran ke tanah di Chihuahua, Mexico, lapor akhbar New York Post, kelmarin.
“Harap ini bukan permulaan kepada selesema burung,’’ sindir pengerusi Kesatuan Konservatif Amerika Syarikat, Matt Schlapp.
Burung-burung itu dikenal pasti sebagai spesies burung hitam berkepala kuning.
Kejadian burung jatuh di jalan itu disaksikan oleh penduduk di bandar Cuauhtemoc, lapor laman berita berbahasa Sepanyol, El Heraldo de Chihuahua.
Kawanan burung itu bermigrasi dari utara Kanada untuk menghabiskan musim sejuk di Mexico. Punca kematian itu tidak dijelaskan.
Bagaimanapun, sesetengah pihak membuat andaian bahawa burung-burung itu mungkin terkesan akibat pencemaran tinggi yang melanda wilayah itu sejak kebelakangan ini. – Agensi