HULU SELANGOR – Seorang ibu tunggal buntu memikirkan nasib anak perempuannya yang menghidap penyakit saraf otak serta mengalami pendarahan di dalam otak sehingga sukar untuk bercakap serta bergerak.
Zarina Abdul Kadir, 58, berkata, anaknya, Nur Nabillah Chenadin, 28, mula mengalami masalah saraf otak sejak berusia 13 tahun selepas diserang demam panas selama tiga hari.
“Pada awalnya, doktor hanya memberikan panadol dan selang beberapa hari, Nabillah mula tidak tentu arah sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
“Sekitar tahun 2007, kaki anak saya pula mula lemah dan dia mudah kebas jika berjalan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Batang Kali di sini baru-baru ini.
Tambah Zarina, anaknya sekali lagi diserang penyakit saraf pada 2014 dan ketika itu doktor memaklumkan keadaannya kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi.
“Enam bulan Nabillah berada di hospital dan sepanjang itulah saya berada di sisinya sehingga terpaksa berhenti kerja.
“Selepas kejadian itu, Nabillah memerlukan alat bantuan pernafasan sepanjang masa sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Jelasnya, doktor juga memaklumkan keadaan anaknya akan kekal begini seumur hidup.
Perkara yang menjadi kebimbangan Zarina ketika ini adalah mesin oksigen yang digunakan sering mengalami kerosakkan.
“Mesin ini sejak 2015 lagi dan sepatutnya ditukar, tetapi saya memang tak mampu,” katanya.
Zarina berkata, anggaran untuk kos rawatan Nabillah setiap bulan sekitar RM3,000 termasuklah keperluan asas seperti pampers, susu, ubat serta alat-alat gantian seperti tiub.
“Nabillah juga tidak boleh panas, jika tidak badannya akan berpeluh dan gatal. Sebab itu penggunaan bil elektrik mencecah RM200 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh melalui akaun Bank Islam miliknya 08-068-02-048480-5 atau hubungi talian 012-357 7978.