SAUDARA PENGARANG,
Setiap hari saya menggunakan laluan khas motosikal di Lebuh Raya Persekutuan dari Shah Alam menuju ke Petaling Jaya untuk berulang-alik pergi dan balik bekerja.
Setiap pagi dan petang, laluan ini sememangnya banyak dilalui motosikal.
Selain itu, terdapat juga motosikal yang memasuki Lebuh Raya Persekutuan dan berkongsi jalan bersama kereta dan lori-lori walaupun tindakan itu menyalahi undang-undang.
Laluan khas motosikal sepatutnya lebih selamat digunakan berbanding bercampur dengan kenderaan lain terutama pada waktu puncak yang lebih berbahaya.
Bagaimanapun, laluan khas motosikal lebih mengundang bahaya dengan kehadiran mereka yang menunggang motosikal dengan laju dalam keadaan kelam-kabut dan terburu-buru untuk pergi bekerja.
Kehadiran penunggang sebegini boleh dikatakan majoriti yang menjadikan laluan khas motosikal di Lebuh Raya Persekutuan itu umpama litar berlumba.
Bukan sahaja tidak mematuhi had laju ditetapkan, malah di dalam terowong yang sepatutnya tidak boleh memotong motosikal lain pun turut dilanggar peraturan itu.
Akibatnya, kemalangan sering berlaku melibatkan motosikal di laluan yang sempit itu.
Justeru, saya meminta pihak polis melakukan pemantauan terhadap penunggang sebegini yang membahayakan pengguna lain yang menunggang secara berhemah.
Selain melakukan pemeriksaan lesen memandu, cukai jalan dan motosikal, pantau juga sikap manusia yang menunggang motosikal macam pelesit.
PAK MAT
Shah Alam, Selangor