AMPANG JAYA – Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga Iraq yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan wanita warga Somalia dalam kejadian di Ampang Point, dekat sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya memberkas suspek yang berusia 25 tahun pada pukul 11.20 malam tadi berhampiran Jalan Ampang Putra, dekat sini.
“Suspek merupakan lelaki warga Iraq memegang status kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja sebagai pembantu restoran.
“Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam wanita warga Somalia tersebut.
“Hasil siasatan polis juga mendapati suspek dan mangsa yang berusia 28 tahun itu saling mengenali antara satu sama lain, namun punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, pihaknya yakin penahanan lelaki warga asing terbabit berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan wanita warga Somalia tersebut dalam tempoh kurang 24 jam.
Katanya, suspek akan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita warga asing maut akibat dibunuh suspek yang didakwa berpunca daripada pergaduhan sebelum suspek bertindak menikam mangsa dengan objek tajam dekat tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai. – KOSMO! ONLINE