PUTRAJAYA – Kes aktif Covid-19 terus mencatatkan peningkatan apabila melepasi angka 155,000 semalam iaitu sebanyak 155,673 kes aktif dilaporkan.
Menurut data pada laman web CovidNow, ia melibatkan 143,076 kes dikuarantin di rumah, 6,118 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 6,292 kes di hospital, 78 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 109 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.
Dalam masa sama, sebanyak 11 kes kematian Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian terkini mencatatkan 32,125 kes.
“Terdapat lima kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-death (BID), dengan jumlah kes BID sebanyak 6,493 kes.
“Kesemua kematian Covid-19 tersebut dilaporkan di Sabah (5), Johor (4), Kelantan (1) dan Pahang (1),” menurut maklumat tersebut di sini hari ini. -K! ONLINE