GUA MUSANG – Permintaan tinggi terhadap kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri menyebabkan berlaku pengurangan bekalan itu di pasaran beberapa buah negeri seperti di Sabah, Johor dan Lembah Klang.
Keadaan itu berlaku kerana kebimbangan orang ramai terhadap varian Omicron serta pembukaan sektor ekonomi dan pendidikan yang semakin banyak menyebabkan keperluan kit itu dalam kehidupan harian.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam bagaimanapun memberi jaminan bekalan RTK pada bulan ini mencukupi apabila lebih 18 juta unit masih ada di peringkat pengilang dan pemborong.
Menurutnya, orang ramai diminta tidak perlu panik untuk mendapatkan bekalan kerana terdapat 8,084 buah premis di seluruh negara di bawah seliaan KPDNHEP telah diberi kebenaran untuk menjual RTK secara runcit.
“Setakat ini, terdapat lebih 100 jenama RTK dan berharap dalam masa seminggu atau dua minggu lagi bekalan itu akan lebih baik selain mudah diperolehi di pasaran.
“Mengikut maklumat yang kami terima, antara faktor penyebab masalah itu timbul adalah kerana pemborong menunggu bekalan dari negara yang sebahagian besarnya dari China.
“Selain itu, kami juga menghubungi pengilang dan syarikat tempatan supaya segera meningkatkan pengeluaran mereka agar alatan tersebut dapat dijual kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat KPDNHEP cawangan Gua Musang di sini hari ini. -K! ONLINE