fbpx

‘Ibu kutu’ didenda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Jaimah selepas membayar denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang peniaga nasi lemak didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu pada 2018.

Tertuduh, Nor Jaimah Kamarudin, 38, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, Nor Jaimah didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu menerusi laman sosial Facebook.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam di sini antara Januari hingga Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Iqbal Mohd. Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.

Terdahulu peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringan hukuman kerana ibu kepada tiga cahaya mata lelaki berusia empat hingga lapan tahun itu merupakan seorang peniaga nasi lemak di gerai tepi jalan.

Shamsher memberitahu mahkamah bahawa ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Manakala, Mohd. Iqbal meminta hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak terlibat dalam kegiatan itu.

Menurut Mohd. Iqbal, kesalahan itu adalah begitu serius kerana ia bukan kaedah kutu tradisional, sebaliknya menawarkan kutu dengan pulangan berlipat kali ganda dengan syarat perlu mencari ahli seramai mungkin.

Tertuduh membayar denda tersebut bagi mengelakkan dikenakan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum ini, Nor Jaimah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang pada September 2020 sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Butterworth kerana kebanyakan saksi berada di negeri ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI