TAIPING – Penganjur Perhimpunan Santai Anak Utara (SAU) 2022 dinasihatkan agar menangguhkan dulu program tersebut yang akan diadakan di Bukit Merah Laketown Resort pada Sabtu ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, ia dilihat tidak sesuai memandangkan kes jangkitan Covid-19 sedang meningkat ketika ini.
Menurut beliau, program tersebut yang dijangka disertai ribuan peserta itu wajar ditangguhkan dan boleh diadakan apabila keadaan beransur baik.
“Saya difahamkan penganjur telah membuat permohonan kepada Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diluluskan sebelum kes jangkitan meningkat.
“Pihak MKN juga boleh meneliti dan mengkaji semula kebenaran yang telah diberikan itu,” ujarnya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, di sini hari ini.
Tambah beliau, sekiranya diteruskan juga pihaknya akan memantau supaya pelaksanaan program itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. -KOSMO! ONLINE