MANCHESTER – Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl mendedahkan bahawa kegagalan para pemain bintang Manchester United memberikan aksi terbaik membolehkan pasukannya berjaya mencuri mata selepas terikat 1-1 di Old Trafford kelmarin.
Penyerang The Saints, Che Adams berjaya meledak gol penyamaan pada awal babak kedua selepas Jadon Sancho meletakkan United di hadapan dengan jaringan pada separuh masa pertama.
“Ia bukan lagi rahsia, United sangat lemah ketika mereka kehilangan bola. Para pemain mereka lambat untuk menyelamatkan keadaan apabila berdepan situasi sebegitu. Kami berjaya mengambil kesempatan dengan kelemahan mereka itu,” katanya.
Strategi permainan dan serangan balas pantas yang digunakan Hasenhuttl berjaya memerangkap United terutama bahagian tengah yang dikemudi oleh Bruno Fernandes dan Paul Pogba yang mendapat kritikan hebat daripada legenda United, Paul Scholes.
“Respons yang kami tunjukkan pada babak kedua sangat baik. Kami berjaya menjaringkan gol awal selain memperoleh beberapa lagi peluang terbaik. Kami sebenarnya memiliki peluang untuk memenangi perlawanan ini.
“Apabila kami mula bermain dengan cara kami, saya fikir kami berjaya mendominasi perlawanan. Ia adalah gol yang sangat cantik daripada Che. Penyerang kami bekerja keras untuk menjaringkan gol dan memberikan mereka ancaman,” jelasnya.
– AGENSI