DRAMA siri popular Amerika Syarikat terbitan Warner Bros, Gossip Girl yang memaparkan kisah remaja dari golongan keluarga sosialit di Manhattan diadaptasi dalam versi Indonesia.
Menggunakan judul Gossip Girl Indonesia, siri berkenaan mula menemui penonton di negara ini buat pertama kali menerusi tayangan di Astro Citra pada 7 Februari lalu.
Bersiaran setiap hari Isnin pukul 9 malam, siri tersebut menyelitkan nilai dan budaya Nusantara di samping sarat dengan elemen yang relevan untuk tontonan masa kini.
Antaranya dari segi gaya fesyen dan trend teknologi masa kini iaitu penggunaan Instagram berbanding versi asal Hollywood yang memaparkan penggunaan blog.
Gabungan hebat
Lebih menarik, siri berkenaan menyaksikan gabungan bakat-bakat kreatif apabila menggunakan sutradara dan penulis berbeza untuk setiap tiga episod yang ditayangkan.
Pengarah Nia Dinata duduk di kerusi pengarah untuk episod satu hingga tiga serta terlibat dalam penulisan skrip keseluruhan siri tersebut di samping Lucky Kuswandi (dari episod satu hingga tiga).
Bagi skrip episod empat hingga enam pula, kerusi pengarahan diambil alih oleh Pritagita Arianegara, sementara skrip masih ditulis oleh Nia di samping Melissa Karim.
Memasuki episod ketujuh hingga sembilan, skrip yang ditulis Nia mendapat sentuhan Andri Cung yang juga bertindak selaku pengarah untuk ketiga-tiga episod tersebut.
Sementara menyentuh tentang wajah penghias pula, siri berkenaan menampilkan pelakon-pelakon muda berbakat besar seperti Amanda Rawles sebagai Serena Darsono, Baskara Mahendra (Denny Hakim), Jihane Almira (Blair Hadiningrat) dan Tatyana Akman (Vanessa).
Diikuti pelakon Arya Vasco (Nathaniel Siregar), Jerome Kurnie (Chicco Salim) serta Rayssa Dynta sebagai Jenny Hakim.
Berbeza dengan siri asal yang menormalkan isu gangguan seksual menerusi watak Chuck Bass terhadap Serena dan Jenny, Gossip Girl Indonesia memberi fokus lebih mendalam tentang isu mental serta kesan serangan seksual terhadap mangsa.
Versi Indonesia menyingkap kisah remaja daripada keluarga golongan sosialit, Serena yang bersahabat baik dengan enam lagi rakannya.
Dia merupakan pelajar popular di sekolah tetapi tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita sehingga tempatnya digantikan oleh seorang rakannya iaitu Blair.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Astro berasa teruja kerana berpeluang menyajikan versi adaptasi siri berkenaan kepada penonton di negara ini.
“Meskipun diadaptasi, namun ada beberapa elemen diubah agar sesuai dengan era terkini serta menyerapkan identiti lokal contohnya seperti nama dan isu sosial.
“Kami percaya, kehadiran siri ini mampu memberi keterujaan kepada peminat siri asal di samping menarik penonton baharu terutamanya daripada golongan generasi Z,” ujarnya.