TUMPAT – Dua pegawai polis berpangkat Inspektor bersama dua lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat parah akibat dilibas dengan sebilah parang ketika bergelut dengan seorang lelaki yang disyaki kurang siuman di Kampung Sedar di sini minggu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam pada Isnin lalu itu menyebabkan lengan Inspektor Mohd. Afifi Jamaluddin dijahit lapan jahitan manakala belakang badan Inspektor Chong Yeong luka sepanjang dua meter.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, dalam kejadian itu, belakang kepala Koperal Mohamad Firdaus Mohd. Jamil cedera sepanjang sembilan sentimeter dan Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi pula luka di belakang tangan sepanjang dua sentimeter.
Menurutnya, keempat-empat warga Polis Diraja Malaysia itu telah dibawa ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, dua pegawai dan anggota polis yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu cuba menahan suspek yang mengamuk di kampung tersebut selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Suspek yang berusia 36 tahun dipercayai mengamuk menggunakan sebilah parang kerana pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya ketika ditemui pemberita semasa hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Wakaf Bharu Balai Polis Wakaf Bharu di sini hari ini.
Menurut Mohd. Azmir, berlaku pergelutan antara pegawai dan anggota polis itu dengan suspek sebelum lelaki itu bertindak melibas mereka.
Katanya, meskipun cedera akibat dilibas dengan parang, polis berjaya menahan suspek dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis pil kuda.
“Polis turut merampas sebilah parang dan sebilah kerambit selepas menahan suspek.
“Pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. Selain itu, suspek juga mempunyai kad orang kurang siuman dan menjalani rawatan psikiatri,” katanya. -KOSMO! ONLINE