MELAKA – Sepasang kekasih dan dua rakan diberkas selepas dikesan mengedar dadah jenis ganja seberat 1,064 gram untuk kegunaan kira-kira 1,500 penagih di negeri ini, Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam serbuan Op Tapis di sebuah kodominium di Banda Hilir.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan, kesemua empat suspek iaitu seorang wanita tempatan serta tiga lelaki warga asing ditahan selepas polis menjumpai ganja seberat 1,064 gram di kediaman mereka.
“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah telah membuat serbuan dan merampas merampas satu beg plastik.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menjumpai lapan ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat 1,064 gram yang boleh digunakan oleh 1,500 penagih di negeri ini,”katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menganggarkan keuntungan penjualan dadah yang dirampas boleh mencecah sehingga RM53,000.
“Suspek wanita tersebut merupakan pasangan kekasih kepada seorang suspek warga Pakistan dan kesemua mereka tinggal serumah.
“Kita syaki mereka mengedar dadah di sekitar kawasan Bandar Melaka dan bekalan yang dirampas itu boleh membawa keuntungan sehingga RM53,000,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau dan kini direman sehingga 18 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE