TAIPING – Dua pengedar dadah yang aktif melakukan kegiatan tersebut di daerah ini ditahan polis di Medan Perwira Kamunting pada Khamis lalu.
Suspek berusia 24 merupakan penganggur manakala rakannya pemandu lori berusia 29 tahun.
Ketua Polis Perak ,Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, tangkapan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak kira -kira pukul 9.30 malam.
“Suspek pertama yang ditahan merupakan penganggur dan pemeriksaan menemui enam bungkus plastik berisi heroin seberat 2750.31 gram dan satu bungkusan plastik syabu 256.89 gram.
“Susulan itu polis berjaya menangkap suspek kedua di dalam sebuah kereta di hadapan premis di lokasi sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.
Nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM121,939 dan boleh digunakan 10,000 orang penagih.
Turut disita dua utas rantai emas, sebuah kereta, sebuah motosikal dan dua buah telefon bimbit dengan nilai barang sitaan keseluruhan berjumlah RM45,434. -KOSMO ! ONLINE