fbpx

Doktor venir tak bertauliah aktif cari mangsa di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEDIA sosial sering dijadikan sebagai tempat untuk mempromosikan pelbagai perkhidmatan haram termasuk pemasangan venir tiruan. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Pihak berkuasa digesa agar lebih pro­aktif dalam memantau kegiatan mempromosi perkhidmatan venir tiruan yang dikesan semakin berleluasa di media sosial.

Seorang doktor gigi, Dr. Yusmijan Yusmido berkata, berdasarkan pemerhatiannya, golongan doktor tidak bertauliah ini sangat aktif mencari pelanggan di media sosial.

“Apa yang dikesalkan, kumpulan ini juga bijak memanipulasi orang ramai dengan mendapatkan khidmat artis tempatan dan influencer bagi membantu mempromosikan perkhidmatan venir tiruan berkenaan.

“Ramai pengguna terutama wanita yang obses dengan kecantikan terpedaya kerana menyangkakan perkhidmatan itu dilakukan oleh pakar perubatan yang sah dan menggunakan peralatan tulen,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Yusmijan berkata, doktor tidak bertauliah terbabit bukanlah pakar yang mahir dalam prosedur pergigian, malah peralatan yang digunakan juga kebanyakannya diragui dari segi ketulenan.

Dalam pada itu, seorang lagi doktor gigi yang mahu dikenali sebagai Dr. Sya berkata, ada kalangan doktor tidak bertauliah ini yang menggelarkan diri mereka sebagai beautician (pakar kecantikan) di lokasi spa, namun tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM).

“Kebanyakan mereka tidak gelarkan perniagaan tersebut sebagai perkhidmatan pergigian, tetapi menggunakan terma se­perti beauty spa atau dental spa.

“Ini adalah taktik pemasaran yang menyebabkan orang ramai terpengaruh,” katanya.

Kata Dr. Sya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meningkatkan kesedaran orang ramai melalui platform media sosial dan perlu lebih agresif dalam mengambil tindakan sekiranya menerima aduan daripada orang ramai terhadap doktor tidak bertauliah ini.

“Kerajaan perlu mengambil laporan daripada orang ramai yang membuat aduan secara lebih serius. Ini kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai dan kerugian yang banyak disebabkan tiada kesedaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI