fbpx

26 April pendengaran permohonan kes saman Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nordiana.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini  menetapkan 26 April ini bagi pendengaran permohonan yang difailkan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana Alias berhubung dakwaan fitnah di platform media sosial Instagram.

Dua individu itu ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selaku plaintif selepas prosiding pengurusan kes bicara itu secara dalam talian hari ini dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Puteri Norshiela Rahimi.

Menurut peguam itu, terdapat dua permohonan yang difailkan oleh kedua-dua defendan tersebut iaitu berhubung pembatalan perenggan-perenggan di dalam jawapan pembelaan plaintif dan permohonan untuk membatalkan pernyataan tuntutan plaintif.

“Justeru mahkamah menetapkan 26 April ini bagi pendengaran permohonan tersebut dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong,” kata peguam itu.

Dalam prosiding hari ini kedua-dua defendan diwakili peguam Nurul Hafidzah Hassan.

Pada 3 Januari lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan kedua-dua individu  untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada Julai tahun lalu, Siti Nordiana, 37, atau Nana memfailkan saman itu menerusi menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates di Mahkamah Sesyen Sivil di sini dengan menamakan Mohd. Razlan Mohamed Yusof atau Lan Solo, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas, Razidah.

Writ saman yang dihantar secara emel itu, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI