SEPERTINYA pelakon Jun So-min sudah kembali pulih selepas mengalami keretakan pada kaki hingga terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini.
Dek keadaan yang membimbangkan itu, sudah pasti ramai peminat program popular, Running Man turut meluahkan kerisauan dengan status terkini kesihatan selebriti kesayangan mereka itu.
Terbaharu, menerusi hantaran dalam Instagram, So-min kelihatan sudah kembali sihat seperti sediakala dan sudah mampu untuk meneruskan semula penggambaran Running Man seperti biasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik, So-min berkongsi foto sebentuk kek yang dihadiahkan oleh pihak produksi program tersebut buatnya.
“Terima kasih kerana sudah menjadi Running Man selama ini,” tulis catatan pada atas kek yang diterimanya itu.
Disebabkan sebaris ayat penuh dengan tanda tanya, ada dalam kalangan peminat mula menebak dan membuat dakwaan bahawa So-min bakal meninggalkan program popular kegemaran ramai itu akibat kecederaan yang dialami.
Situasi berkenaan tak ubah seperti yang dilalui aktor popular, Lee Kwang-soo.
Bagaimanapun, ramai juga yang menyangkal dan mengatakan bahawa pihak produksi hanya mahu memberikan penghargaan sebagai tanda terima kasih buat pelakon berkenaan.
Tidak membiarkan semuanya berlarutan, So-min tampil meleraikan segala spekulasi yang bersarang dalam jiwa peminat.
“Spekulasi bahawa Jun So-min akan meninggalkan Running Man langsung tidak benar,” tulis agensi So-min dalam satu kenyataan ringkas.
Sekadar info, So-min, 36, mula menyertai sejak lima tahun lalu iaitu pada April, 2017.